SELAMAT DATANG KE BLOG ILMIAH INI . HARAP BLOG INI DAPAT MEMBANTU UNTUK MENAMBAH ILMU KAWAN-KAWAN SEMUA . SELAMAT MEMBACA ^_^y

Wednesday 8 May 2013

MASALAH MEMBACA

Masalah Membaca 




Amalan membaca merupakan amalan yang mulia dalam memperoleh maklumat dan pengalaman. Membaca melibatkan semua golongan tanpa mengira peringkat umur, pangkat, darjat mahupun bangsa dan agama. Amalan membaca sering dikaitkan dengan kata hikmah, iaitu membaca jambatan ilmu. Oleh hal demikian, membaca membawa banyak kelebihan serta membantu seseorang memperoleh pelbagai ilmu dan pengetahuan sebagai panduan dalam kehidupan. 

Secara umumnya, membaca dapat dirumuskan sebagai proses memperoleh maklumat melalui gabungan beberapa proses kompleks, iaitu proses sensori, pengamatan, linguistik dan kognitif. Setiap proses memainkan peranan penting dalam proses keseluruhan membaca. Proses membaca tidak akan berlaku dengan baik sekiranya tiada hubungkait antara setiap proses kompleks tersebut. 

Menurut Marohaini Yusoff (1999) , faktor- faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca seseorang adalah pelbagai dan saling berkaitan antara satu sama lain. oleh hal demikian, faktor – faktor yang mempengaruhi masalah membaca perlu dikenalpasti, diteliti dan ditangani lebih mendalam bagi mencari kaedah yang bersesuaian untuk mengatasi permasalahan tersebut. Faktor – faktor yang mempengaruhi masalah membaca terbahagi kepada dua iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. 

a) Faktor Dalaman 

Faktor Dalaman yang mempengaruhi masalah membaca berpunca dari dalam diri pembaca itu sendiri. Dalam faktor dalaman ini, pembaca mengalaman masalah dari aspek kognitif atau inteleknya sendiri. Selain itu, masalah dalaman yang wujud dalam diri pelajar yang menyebabkan sebilangan daripada mereka mengalami masalah membaca itu sendiri ialah aspek psikologi. 

Menurut Marohaini Yusoff (1999), Faktor dalaman yang mempengaruhi masalah pembacaan pembaca dalam aspek intelektual adalah seperti kecerdasan, kebolehan berbahasa, dan pengalaman sedia ada. 

i) Kecerdasan 


 Sekiranya pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan minda yang tinggi, mudah bagi mereka memberi perhatian dan memahami sesuatu struktur ayat yang dibaca tanpa perlu menggulang dan meneliti berulang kali sebaliknya sukar bagi pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan yang lebih rendah. Golongan pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan yang rendah ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk memahamkan sesuatu bahan yang dibaca. Kesannya, pelajar yang mempunyai tahap kemampuan kecerdasan akal yang rendah akan mengalami kesukaran untuk mengejar dan bersaing dalam matapelajaran yang dipelajarinya. 

ii) Pengalaman Sedia ada 


 Pengalaman sedia ada yang terbatas juga merupakan salah satu faktor dalaman pembaca yang mengalami masalah membaca. Pengalaman sedia ada ini diperolehi daripada kehidupan seharian pembaca. Kesemua pengalaman dan pengetahuan sedia ada ini diperolehi di rumah, didikan ibu bapa, sekolah, sosiobudaya dan sebagainya. Sekiranya seseorang pembaca itu hidup dalam suasana keluarga yang mempunyai tabiat membaca, pembaca tersebut akan terdorong untuk membaca walaupun secara tidak langsung. Pengalaman menjadi kayu ukur tahap kebolehan membaca dengan lancar dan mudah fahaman terhadap sesuatu yang dibaca. Kadang-kala terdapat juga sebilangan kecil pembaca yang hidup disuasana budaya membaca namun kemudah fahaman sesuatu yang dibaca ditahap yang rendah. Hal disebabkan, tahap kemampuan kognitif pembaca tersebut ditahap yang rendah untuk menerima dan menilai sesuatu amalan tersebut khususnya membaca. 

 iii) Keboleh berbahasaan. 

Pembaca yang tidak luas tahap pembacaan dan lemah dalam tatabahasa ditambah pula dengan kehidupan dalam masyarakat yang menggunakan bahasa dialek kedaerahan menambahkan lagi masalah kesukaran seseorang pembaca untuk membaca. Mungkin mereka mampu untuk memahamkan diri mereka apa yang dibaca dan mungkin juga mereka manghadapi masalah penyampaian terhadap sesuatu struktur ayat yang dibaca. 

Hal ini demikian kerana, sekiranya seseorang pembaca itu bertutur dalam dialek kenegerian, pembaca tersebut mengalami kesukaran untuk menyampaikan maklumat yang dibaca kepada orang lain. Pembaca tersebut hanya memahami perkara yang dibaca untuk dirinya sahaja dan bukannya menyampaikan perkara yang dibaca kepada orang lain. 

b) Faktor Luaran 


Faktor luaran dalam masalah membaca merupakan faktor yang bukan berpunca dari dalam diri seseorang individu tetapi faktor yang dapat dilihat dan diketahui menyebabkan seseorang itu mempunyai masalah dalam membaca. Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca masalah membaca. Ianya berkaitan dengan faktor fizikal pembaca, persekitaran dan bahan bacaan itu sendiri.  

i) Faktor fizikal pembaca 

Faktor fizikal yang berkaitan dengan masalah membaca ialah daya penglihatan dan pendengaran. Dari aspek penglihatan, iaitu : 

1. Juling – Fokus kedua-dua biji mata ke arah yang sama mengakibatkan imej yaang sama kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya. 


2. Rabun dekat ( myopia) – tidak dapat melihat pada jarak yang jauh 


3. Rabun jauh – tidak dapat melihat jarak yang dekat 


4. Astigmatism – penglihatan kabur akibat kurang fokus cahaya pada salah satu atau kedua-dua hujung retina 


5. Amblyopiks – satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak. 


Manakala, bagi aspek pendengaran pula seperti berikut: 

1. Kerencatan pendengaran sementara. 

2. Kerencatan pendengaran kekal. 


ii) Persekitaran 

Masalah membaca turut dipengaruhi oleh persekitaran kerana setiap kali aktiviti membaca berlaku, ia pasti akan melibatkan persekitaran terutamanya persekitaran rumah dan persekitaran sekolah. Suasana persekitaran ketika membaca akan memberi kesan sama ada proses membaca berjaya atau gagal. Marohaini Yusoff (1999) menyatakan terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan persekitaran rumah. Antaranya ialah sosiobudaya di rumah, kestabilan sosial, corak interaksi sesama isi rumah, dan sosioekonomi. Jika perkara- perkara tersebut berada dalam keadaan baik, murid akan mempunyai perbendaharaan kata yang lebih baik berbanding murid yang mengalami latar belakang yang kurang cemerlang mengurangkan perbendaharaan kara mereka. Ia juga berlaku terhadap pengalaman sedia ada murid kerana pengalaman sedia ada juga turut mempengaruhi keberkesanan proses membaca. 

Pearson dan Johnson (1978) mengatakan bahawa guru, rakan sebaya dan ekologi bilik darjah mempengaruhi bacaan dan kefahaman. Kegiatan guru dan rakan-rakan lain mempengaruhi pencapaian membaca murid. Guru bertindak sebagai pencetus kepada keinginan membaca, manakala rakan sebaya pula menjadi pemangkin kepada minat untu terus membaca. Secara ringkasnya, guru dan rakan sebaya bertindak secara tidak langsung sebagai perangsang untuk seseorang murid membaca. Rangsangan yang baik membolehkan murid membaca dengan baik, tetapi rangsangan yang negatif akan memberikan hasil yang negatif juga. 

iii) Bahan Bacaan 

Marohaini Yusoff (1999) menegaskan, keupayaan seseorang memahami sesuatu bacaan dipengaruhi juga oleh bahan bacaan tersebut. Bahan bacaan mempengaruhi bacaan pembaca melalui pelbagai aspek. Antara aspek tersebut ialah perbendaharaan kata yang terdapat dalam bahan bacaan, penggunaan ayat sama ada mudah atau abstrak, isi kandungan bacaan, serta penggunaan bahan grafik untuk menarik minat pembaca. 

Bahan ilmiah yang kompleks memerlukan penerangan yang lengkap selain sesuatu untuk memberi gambaran supaya pembaca mudah faham dengan apa yang dibaca. Aspek-aspek yang dinyatakan memainkan peranan penting dalam menjadikan bahan bacaan menarik dan mudah difahami. Dengan daya tarikan serta tahap kemudahan bahan bacaan, seseorang yang membacanya lebih mudah tertarik untuk meneruskan bacaan selain memudahkan pemahaman melalui bacaan tersebut. Dengan pemahaman tentang bahan bacaan, matlamat proses membaca akan berjalan dengan baik.

No comments:

Post a Comment